Rabu, 25 Ogos 2010

Negara Islam atau Sekular

Polemik negara Islam lawan negara sekular sebetulnya adalah perdebatan klasik yang muncul akibat kedangkalan politik kepartian Malaysia saja - khususnya PAS, DAP dan Umno. Kita sudah lelah dengan kedangkalan sebegini.

Tatkala PAS, menerusi Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan negara Islam, DAP pula, khususnya Karpal Singh inginkan negara Sekular. Mereka bercakaran sepanjang waktu pada sesuatu yang sebenarnya "tidak ada." Hakikatnya, kedua-dua pihak sedang melakukan kesalahan yang memalukan.

Mungkin kata "salah" tampak radikal. Tetapi ternyata dua suara yang berseberangan ini tidaklah mewakili dari hasrat keseluruhan, atau sekurangnya-kurangnya hasrat sebahagian besar warga Malaysia itu sendiri.

Bagaimana untuk kita membuktikannya? Mari kita telusuri persoalan keabsahan hukum politik yang konon jadi wadah kebanggaan politik PAS dan DAP ini.

PAS, mahupun DAP, memang percaya dan sepakat bahawa jalur politik dalam konteks negara moden adalah pilihan mereka. Oleh kerana itu, mereka terlibat dalam sistem politik negara.

Mereka sepakat bahawa pilihan raya adalah bukti kepada "kebenaran" gagasan mereka. Dan, sama ada sebelum mahu pun setelah pilihan raya, suara-suara yang membawa kemenangan politik akan diangkat.
Ada yang kita dengar: "PAS lebih rela ditolak rakyat daripada dimukai tuhan."

Namun, pada hakikatnya, mereka kembali pada rakyat juga.

Gagasan kabur

Maka, PAS menerusi makna politik sebegini pun mengumandangkan suara-suara Islam, yang kadang-kala ditempek dengan idea-idea demokrasi. Lalu, mereka memadankan demokrasi dengan Islam.

Melalui demokrasi, mereka cuba naik. Dan, melalui demokrasi sedia mereka turun. Dan ini satu perkara yang bagus tentang PAS.

Sementara DAP juga begitu. Mereka terus tegas dengan perjuangan sekularisme. Apakah sekular mereka ramah-agama atau antiagama? Itu tak pernah mereka tuntaskan.

Sama seperti PAS, yang tak pernah menuntaskan secara rinci gagasan negara Islamnya. DAP juga begitu, yang kabur gagasan sekularnya. Tetapi, bagi DAP, yang jelas, Malaysia bermula sebagai sebuah negara sekular.

Dan kebetulan hukum sejarah itulah yang ditafsirkan dalam perlembangaan negara, biarpun terdapat jaminan "agama rasmi negara adalah Islam."

Tetapi, dalam tak sedar, dua suara daripada dua parti politik yang berseberangan ini sebenarnya sama saja dalam sebuah kesendengan. Keduanya dangkal dalam mengerti hakikat politik itu sendiri.

Politik, sepertimana yang mereka wadahi, tak bererti melaksanakan suara sepihak. Tak bererti "kebenaran" (dalam takrif mereka) itu terletak pada "kami."

Sebaliknya, politik yang melampaui politik moden seharusnya juga melampaui hagemoni (termasuk hagemoni idealogi) serta meletakkan kembali suara "kita"sebagai sebuah keabsahan. Dan, akhirnya, yang tekal absah adalah "suara rakyat" itu sendiri, suara "kita!

Lalu, pertanyaannya, apakah benar rakyat bahawa Malaysia memang mahu negara Islam? Kedua-duanya, sama ada PAS mahu pun DAP, sampai kini belum membuktikan. PAS hanya bersandar pada demografi, manakala DAP bersandar pada perlembagaan.

Kehendak rakyat

Namun, kedua sandaran itu sudah pun terhakis keabsahannya. Tatkala rakyat berubah, demografi dan perlembagaan juga berubah.

Demografi takkan sama selamanya. Begitu juga perlembagaan, yang boleh diralat sesuai dengan kehendak baru masyarakat sivil. Maka, yang terus absah hanyalah suara rakyat sebagai suara keramat.

Dari perspektif politik moden, slogan "suara rakyat adalah suara keramat" itu ada benarnya, tetapi sering dimanipulasi. Sama seperti politik-agama yang sering memanipulasi agama demi kepentingan politiknya.

Selalunya, nama rakyat seakan berguna saat politikus tersepit atau saat sesebuah parti tersudut. Nama rakyat ibarat mahdisme yang bila diangkat dapat menyelesaikan segalanya. Namun, inilah juga tanda dari kegagalan politik moden.

Kegagalan inilah yang diwarisi dalam citra politik PAS dan DAP. Dua buah parti ini - sebetulnya semua parti di Malaysia - memang gagal untuk memahami jurang antara "kehendak rakyat" dan "pembentukan politik."

Buat parti-parti ini, keputusan pilihan raya adalah saat yang tepat untuk membolot segalanya selama lima tahun. Memang dangkal bila makna masyarakat sivil mula dipinggirkan, atau tidak cuba untuk difahami.

Kita kata dangkal, tatkala menyaksikan bagaimana kemuliaan Dewan Rakyat dipermainkan. Kita harus persoalkan kembali, apakah benar-benar Dewan Rakyat itu mewakili kehendak rakyat?

Apakah benar-benar setiap hukum yang digubal di Dewan Rakyat itu mewakili hasrat rakyat? Apakah benar-benar setiap suara di Dewan Rakyat itu suara rakyat?

PAS-DAP gigih bercakaran

Semuanya, jika disandar pada realiti dewasa ini, jawapanya tidak. Yang berlaku, suara Dewan Rakyat adalah suara elit politik. Atau lebih tepat, suara eksekutif semata-mata. Rakyat tak pernah diundang untuk terlibat merumuskan hukum.

Walhal hukum itulah yang akan dilaksanakan atas mereka. Rakyat hanya merasa terlibat sekali dalam lima tahun, hanya waktu pilihan raya. Hanya itu saja nilai buat rakyat (yang autonomi) yang konon menjadi "suara keramat" tersebut.

Dan, dengan yang "tidak ada" inilah PAS dan DAP meriah bermegah serta gigih bercakaran. Mereka semarak melaungkan kepentingan masing-masing, padahal keduanya tidak pun mengesahkan keabhsahan kepentingan mereka pada rakyat.

Sama seperti Umno, masing-masing PAS dan DAP juga terus merasa selesa dengan kesendengan mereka. Bagaimanapun, memang mengeluh tak memadai. Lalu, bagaimana untuk kita mengatasi kekurangan politik moden ini?

Justeru, kita mesti mulai akur bahawa setiap pandangan kita boleh saja dicampakkan ke ruang awam. Namun kita juga harus sedar bahawa itu tak bererti pandangan tersebut boleh terus dilaksanakan. Kita, biarpun atas nama politik-idealogi, tetap terus memerlukan keabsahan rakyat.

Selain dari keabsahan rakyat, yang lain akan terus saja bergulir. Inilah yang dimaksudkan sebagai "pembentukan politik dan kehendak rakyat."

Maka, tiada lagi kelompok yang terus kemaruk idealogi dan mahu melaksanakan idealogi satu pihak itu pada semua orang, tanpa memikirkan sisi komunikatif yang terdapat dalam masyarakat sivil.

Jadi, tentang gagasan negara Islam, mahu pun negara Sekular, atau apapun pun gagasan yang ingin ditawarkan, itu semestinya kembali pada pemugaran muafakat rakyat.

Berlagak dengan pandangan sepihak

Namun, untuk memugar muafakat ini tak mudah, tak juga murah. Tapi, inilah harga yang mesti dibayar untuk sebuah keabsahan. Muafakat hanya terbina dari proses wacana rakyat yang tak tercemar dengan kepentingan eksklusif. Sebaliknya, suara autonomi dari masharakat warga itu sendiri.

Lantas, mari kita bertanya: Apakah PAS dan DAP sudah memulakan proses ini? Tidak. Sampai kini, mereka asyik terbuai dengan mimpi-mimpi indah mereka.

Mereka akan terus saja bermimpi, dilambung seenaknya, sampai mereka sedar bahawa proses sebenarnya harus bermula dari bawah, dari rakyat, dari pendidikan, bukan dari atas, bukan dari elit, bukan dari jalan-pintas politik.

Maka, bagaimana untuk melakukan ini? Didiklah rakyat dengan gagasan mereka. PAS boleh mendidik rakyat tentang kepentingan hudud dan syariahnya. DAP, boleh mendidik rakyat tentang peri pentingnya negara sekular.

Kemudian, di tingkat masyarakat sivil, mereka akan terus-menerus menilai, dengan berhujah penuh kritis. Dan akhirnya pasti mereka akan dapat merasionalkan serta menerima salah satu, atau sebarang pilihan lain, dari gagasan-gagasan tersebut. Lalu, keabsahan akan peroleh tempatnya.

Tetapi, soalnya sekarang, PAS dan DAP kian berlagak dengan pandangan sepihak, seolah masyarakat warga tak punya nilai. Dan, inilah yang akhirnya yang mendorong krisis menjadi lebih parah. Krisis tak lagi jadi kritik yang kreatif, sebaliknya jadi kutukan yang negatif.

Sudahnya, sebagai jalan pintas, mereka serakusnya cuba merangkul kuasa politik yang diragui keabsahannya, dan terus melaksanakan gagasannya yang tak-absah tersebut. Hasilnya, kemurnian dari masyarakat warga yang jadi tapak pada keabsahan pun tercemar.

Maka, sebagai warga dari tanahair ini- yang kian tak merasa bahagian dari tanah dan air-nya-kita harus siap berkata "tidak" pada bentuk politik dangkal sebegini. Kita sebagai masyarakat warga harus kembali menuntut jaminan untuk membantah.

Harus menagih kembali hak untuk terlibat dalam setiap keputusan politik tanahair, dan tanpa perlu menunggu lima tahun sekalipun. Serta, kita harus dibela untuk memiliki hak-hak ini. Jadi, inilah makna hakiki dari "rakyat yang memerintah dirinya sendiri.

Maknanya, rakyat yang mewacanakan hukum, rakyat yang mengangkat hukum untuk digubal. Dan rakyat juga yang menikmati hukum tersebut.

Lalu, apa tugas Dewan Rakyat? Tugasnya adalah mendengarkan suara "kita", supaya tak berlaku anarkisme pada "kehendak rakyat."

Hanya itu. Dan, bukannya mereka pula bertindak mengabsahkan fasisme pada "pembentukan politik"!

Selasa, 17 Ogos 2010

BN pentaskan 'opera Cina' dibintangi Muhyiddin, Chua

PAS menyifatkan 'pertelingkahan' antara Umno dan MCA dalam isu ekuiti bumiputera umpama bangsawan Melayu dan Opera Cina menjelang Operasi Lalang 1987 yang menyebabkan pemimpin pembangkang dikambinghitamkan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (kiri) berkata selepas 23 tahun,ia dipentaskan semula dengan 'pelakon' yang berbeza.

"Kalau dulu (antara) Datuk Seri Najib dan (bekas timbalan presiden MCA) Datuk Lee Kim Sai, kini (giliran) Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan (presiden MCA) Datuk Seri Dr Chua Soi Lek," kata Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

"Apakah selepas ini ada operasi lalang kedua? (Akan ada) pemimpin pembangkang yang akan dikambinghitam (oleh) Umno/BN.

"(Mereka) akan terus berkuasa untuk meratah rakyat dan khazanah negara," katanya.

Najib ketika itu berkhidmat sebagai pemangku menteri beliau dan sukan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena berkata sejak tragedi berdarah 13 Mei 1969 lagi, pentas "politik bangsawan Melayu dan opera Cina" sentiasa menjadi tarikan untuk dipersembahkan.

Katanya, seperti pada tahun 1987, sandiwara itu dipentaskan ketika Umno dan MCA mengalami krisis kepercayaan daripada kaum masing-masing.

Ketika itu, tambahnya, orang Cina melihat MCA gagal melindungi bangsa merekam sebaliknya pemimpinnya dilihat membina kekayaan; manakala pemimpin Umno pula dilihat mengamalkan kronisma dan nepotisma demi mengumpul kekayaan.

"Dihunuskan keris bangsawan Melayu dan pedang opera Cina bergegak gumpita seluruh negara. Datuk Lee Kim Sai lantang memperlihatkan keberaniannya mempersoalkan hak Melayu.

"Umno pula berlagak seperti Hang Jebat pembela ketuanan Tuah. Umno mencadangkan himpunan umat Melayu di Stadium Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur.

"Jelajah mereka seluruh negara berpesan pada Melayu jangan lupa bawa mancis api dan senjata tajam keperhimpunan Melayu di Kuala Lumpur untuk bakar rumah Cina dan basahkan Kuala Lumpur dengan darah orang Cina," kata Mahfuz.

Setelah politik negara menjadi tegang, polis mengumumkan perhimpunan tersebut tidak dibenarkan dan berlakulah penangkapan beberapa pemimpin pembangkang bawah akta kontroversi ISA.

"Pelakon watak utama sandiwara bangsawan Melayu dan Opera Cina Datuk Seri Najib dan Datuk Lee Kim Sai diberi cuti ke Australia. Pemimpin pembangkang dan NGO diberi cuti rehat di Kem Kemunting," katanya.

Isnin, 16 Ogos 2010

Suara Katak Dalam Tempayan Budu



BAGUSLAH Encik Ibarhim Ali sudah buka mulut memberi kata dua kepada Najib Razak, sama ada hendak melakukan apa saja yang boleh menangani masalah Melayu ataupun akan menghadapi kehilangan undi orang Melayu dalam pilihan raya akan datang. Bunyinya keras dan garang amaran Encik Ibarhim Ali itu. Ia meremangkan bulu roma para pengikut dan pendokongnya.

Bagi mereka yang tidak kenal Encik Ibrahim merasakan kata-kata itu akan mengacam Umno dan Najib. Seolah-olah Encik Ibrahim boleh memanggil semua orang Melayu supaya menolak Umno.

Tetapi bagi orang yang sudah kenal dan tahu apa warna urat perut Encik Ibrahim tidak pun merasai apa-apa dengan kenyataan itu. Ianya tidak lebih daripada cara Encik Ibrahim melakukan exeercise mulut saja. Setengah orang kalau hendak melancarkan kelenjer mulut makan chewging gum tetapi tidak dengan Encik Ibrahim dia melakukan latihan mulut dengan bercakap dan memaki hamun orang. Latihan ini diamalkan sejak berpuluh tahun lalu.

Bagi mereka yang kenal dan makrifat dengan perangai Encik Ibrahim sikit pun tidak merasa pelik dengan amaran Encik Ibrahim itu. Encik Ibrahim memang lantang. Tetapi sebenarnya kelantangan itu tidak pun menakutkan sesiapa. Suara Encik Ibrahim samalah suara katak dalam tempayan budu yang kosong. Atau macam suara pelakar ditengah hari yang tidak akan menurunkan setitik hujan.

Memang suara dalam tempayan budu kosong kuat dan berdaung lantang. Bukan apa disebabkan suasana dalam tempayan itu. Ia bergema dan menerbitkan talun bertubi-tubi. Berada dalam tempayan budu macamlah berada dalam stadio yang pakai echo... bergema. Aummm... aummm.
Ho..hoooo.

Kalau di kampung-kampung dulu orang akan masuk dalam tempayan budu kemudian mengaum untuk menakut-nakutkan budak-budak. Bila budak dengan suara itu akan lari lintang pukang kerana fikirkan itu suara hantu.

Nah begitu juga dengan kelantangan Encik Ibrahim itu hanya kelantangan palsu. Suara dalam tempayan budu saja. Setiap kali timbul isu khususnya isu Melayu maka setiap kali itu Encik Ibrahim akan berkokok. Akan meraung, aum... aum.... Sekali ingat ia sudah jadi budaya dan habit buatnya. Berkokok dalam tempayan budu adalah jenis permainan Encik Ibrahim Ali sejak lama dulu.

Apabila beliau memberi kata dua kepada Najib Razak ekoran tindakan MCA mendesak supaya ekuiti Bumiputera dikurangkan, sepertimana yang dirumuskan dalam kongres ekonomi Cina semalam, kata dua itu hanya tidak lebih dari kata dua atau kata tiga saja. Najib tidak sedikitpun hairan dan teruja dengan suara itu kerana sudah pun kenal dengan suara Encik Ibrahim. Najib tidak akan melayanninya. Kata dua atau kata tiga Encik Ibrahim itu tidak membawa apa-apa efek pun.

Lagipun dalam suasana sekarang ini Najib akan lebih mendegar suara orang Cina dari suara Melayu macam Encik Ibrahim. Pada Najib suara orang Cina lebih mengancamnya daripada suara Encik Ibrahim. Najib tidak akan mengalami apa-apa kerugian kalau dengar suara Cina dari suara Encik Ibrahim. Najib juga berfikir Encik Ibrahim tidak akan berbuat apa-apa dengan untuk mengalihkan sokongan Melayu kepada Umno kerana siapalah Encik Ibrahim. Lainlah kalau Encik Ibrahim masih bersama Pas sudah tentu ajakan Encik Ibrahim itu boleh mencemaskan Najib.

Encik Ibrahim tidak ada upaya untuk memaksa atau menarik orang Melayu bersamanya dan menghukum Umno. Kerana mereka yang bersama Encik Ibrahim hari ini hanya dua tiga kerat saja itu pun mereka yang sudah tidak laku dan dibuang oleh Umno kerana memiliki berbagai virus yang membusungkan perut.

Kenapa saya kata begitu, kalau Najib takut, gerun dan merasakan suara Encik Ibrahim penting, Najib sudah lama mengambil Encik Ibrahim. Menerima menjadi ahli Umno semula. Tetapi belum terbuka untuk Najib berbuat begitu. Saya juga tidak kira Najib sengaja membiarkan Encik Ibrahim berada dalam kloni Umno sebagai badan pendesak, kerana lagak Encik Ibrahim menyusahkan Umno. Ia merenggangkan orang Cina dengan Umno. Bukankah orang Cina sudah menganggap NGO yang diketuai Encik Ibrahim sebagai rasis.

Najib juga tidak peduli kerana Najib tahu kapasiti Encik Ibrahim. Tahu seramai mana dan dari jenis apa yang mereka berada di belakang Encik Ibrahim. Kebanayakan mereka adalah bekas pemimpin Umno yang sudah kehilangan kuku. Terima atau tidak, mereka ini sudah pun jadi melukut di tepi gantang bagi Umno.

Bagaimana pun sebagai orang Melayu saya bersetuju dengan perjuangan Encik Ibrahim mempertahankan songkok dan keris. Sekurang-kurang Encik Ibrahim ada identiti dan jasa dan capnya tersendiri. Tetapi apa yang perlu fikir, apa gunanya kalau perjuangan atau visi kita tidak ke mana? Ianya hanya penuh dengan gema dan gimik saja.

Seingat saya sudah lama Encik Ibrahim berjuang menjaga dan membela kepentingan Melayu. Sejak zaman kampus tahun 1974 bersama Anwar lagi. Dia selalu dakwa begitu. Tetapi adakah hasil yang diperjuangkan olehnya? Kalaupun ada kejayaan Encik Ibrahim itu adalah perkongsian bersama Anwar Ibrahim dan rakan-rakan lain. Ia bukan kejayaan individu Encik Ibrahim. Kalau Encik Ibrahim tidak bergabung dengan Anwar, mungkin dunia pun tidak mengenai siapa dia Encik Ibrahim. Mungkin dia mampu jadi presiden persatuan dikir barat di Kelantan saja.

Jadi kenyataan Encik Ibrahim itu tampaknya tidak ada apa-apa kesan dan kenyataan pun. Kalau setakat berjaya membawa balik jambatan Tendong, ia tidak memberi apa-apa makna, Jambatan bukan ikon kepada orang Mlayu. Apa lagi kalau jambatan itu lebih memberi ksenangan dan kemudahan kepada Encik Ibrhaim berbanding dengan rakyat.

Satu hal lagi, bila saya melihat Encik Ibrahim berjuang saya teringat kepada dua orang pelakon drama dalam televisyen. Setiap kali terpandang dua aktres ini saya jadi ralat. Kenapa ralat. Dalam filem dia melakukan watak-watak protagonist, jadi tok guru, ustaz ataupun ibu dan isteri yang baik. Sebaliknya kehidupan dia diluar berbeza dengan watak yang dilakonkan itu.

Di luar dia pernah didakwa kerana merompak pemandu dan berjaya melarikan RM7.20. Manakala yang perempuan itu rumah tangganya porak peranda dan ada skandal dengan laki orang. Bila kita sudah kenal kehidupan realitinya begitu, menyebabkan watak yang dilakukan itu betapa baik dan berjaya pun sukar untuk diterima.

Setiap kali dia melakukan watak tok guru, maka terbayang di mata bagaimana dia merompak keling yang jadi pemandu teksi itu.

Begitulah saya melihat Encik Ibrahim dalam perjuangannya. Akhlak dan moralnya bertentangan dengan visi perjuangan yang hendak dibawa. Visinya murni, agung dan mulia, tetapi caranya dan kaedahnya huduh sekali.

Nasib Encik Ibrahim ini samalah dengan nasib seorang yang menjadi imam, tetapi ia tidak mengambil wuduk. Betapa dia bergaya, serban tinggi, juban labuh meleret boleh buat sapu tahi ayam monir, suara baik, tetapi tidak ada gunan mengikuti dia kerana imam itu tidak ambil wuduk. Sembahyang yang diimani oleh imam berkenaan tetap tidak sah.

Begituah juga dengan perjuangan Encik Ibrahim untuk membela, menegak, melentang dan melebarkan Melayu itu tidak akan mendapat sambutan kerana perjuangan (caranya itu) tidak sah. Sia-sialah mengikuti imam yang rosak tata tertibnya. Kena sembahyang semula! [wm.kl 12:00 t/hari 16/08/10]

Jumaat, 6 Ogos 2010

Zaid: Petisyen ditolak untuk elak PM diheret

Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim tidak hadir di mahkamah tinggi Rabu lalu untuk mendengar keputusan petisyennya mencabar keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor kerana telah menjangka permohonannya itu akan ditolak.

Menulis dalam blognya, Zaid berkata apabila seorang hakim membenarkan masa yang secukupnya iaitu tiga hari kepada pihak yang mahu petisyen itu ditolak atas alasan teknikal (supaya kes itu tidak dapat peluang ke peringkat perbicaraan sepenuhnya, di mana segala butiran dan keterangan yang ada dan saksi akan dikemukakan), ini bermakna permohonan itu tidak akan berjaya.

"Alasan yang diberi ialah saya tidak menyenaraikan nama mereka yang telah menerima rasuah ataupun “bribe” tersebut. Nama mereka ada, dan kita akan ketengahkan saksi yang kita ada semasa perbicaraan.

"Tetapi mulakanlah perbicaraan itu. Mengapa takut sangat didengar keterangan pihak kami? Kalau pihak kami tak berjaya membuktikan selepas perbicaraan barulah sepatutnya permohonan ditolak.

"Apa perlu tolak awal-awal lagi? Alasan sebenar ialah mereka perlu melindungi 'The Great PM' daripada disoal oleh peguam kami. Pada mereka mana boleh PM datang ke mahkamah," kata Zaid.

Kata beliau lagi, terdapat pelbagai macam rasuah pilihan raya umpamanya apabila aduan dibuat secara spesifik bahawa calon A menawarkan wang kepada B dan C untuk mengundinya, memang akan disenaraikan dalam petisyen nama B dan C.

"Tetapi inilah kali pertama kita ada PM yang membuat tawaran rasuah secara terbuka kepada orang ramai. Inilah kes 'general bribery' yang mustahil dapat kita senarai semua nama mereka yang ditawarkan wang tersebut.

"Mengikut keputusan ini, katakanlah kalau Perdana Menteri memberi ucapan melalui RTM1 pada kempen pilihan raya Sarawak nanti, dua hari sebelum mengundi, beliau berucap kepada semua rakyat Sarawak bahawa mereka akan diberi Amanah Saham percuma sebanyak 1000 unit kalau BN menang, siapa yang mahu membawa kes itu ke mahkamah mestilah menyenaraikan nama 2 juta penduduk Sarawak!" kata Zaid.

Menurut beliau mahkamah mahu pihak yang membawa permohonan mesti membuktikan mereka yang menerima rasuah ini, dalam kes ini rasuah yang ditawarkan meyakinkan mereka mengundi BN.

"Ini satu lagi syarat yang paling luar biasa dalam dunia ini. Bagaimanakah kami akan buktikan niat pengundi sebelum perbicaraan bermula? Lagipun soalan seperti 'Kamu undi siapa semasa pilihan raya?' tidak dapat disoal semasa perbicaraan kerana undi itu sulit.

"Akta Kesalahan Pilihan Raya tidak membenarkan kita bertanya soalan itu tetapi hakim terus menetapkan syarat sedemikian," ujar beliau.

Tambahnya, pihak beliau juga telah dipersalahkan kerana tidak mengeluarkan ucapan Najib sepenuhnya dalam petisyen.

"Kami bercadang untuk membentang rakaman ucapan itu semasa perbicaraan tetapi peluang tidak diberi. Inilah cara BN menang dalam segala hal," kata Zaid.

Pihaknya juga tidak bercadang untuk membuat rayuan ke peringkat Mahkamah Rayuan memandangkan keputusan sama akan diberikan.

Beliau juga tidak berniat meneruskan tindakan susulan kerana tidak tidak mahu membuang masa peguam-peguamnya - Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ang Hean Leng yang menawarkan khidmat guaman mereka secara percuma.

Mahkamah Tinggi menolak petisyen pilihan raya Zaid dan mengesahkan bahawa, P Kamalanathan dipilih secara sah sebagai ahli parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya kecil April lalu.

Keputusan dibuat oleh hakim Datuk Azhar Mohamed selepas membenarkan bantahan awal Kamalanathan bagi membatalkan petisyen Zaid.  (sumber asal)

Isnin, 2 Ogos 2010

Suhakam kecewa demo anti-ISA dihalang

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) kecewa dengan tindakan polis menyuraikan perhimpunan anti-ISA di Petaling Jaya kelmarin kerana tindakan itu melanggar hak orang awam untuk berhimpun secara aman.

"Pemerhatian Suhakam mendapati bahawa hak untuk berhimpun telah dinafikan apabila pihak berkuasa menghentikan perhimpunan itu dan menyuraikan orang ramai dengan tergesa-gesa," kata pengerusinya Tan Sri Hasmy Agam.

"Amaran yang sebaiknya dan masa yagn cukup tidak diberikan oleh pihak berkuasa, yang menyebabkan 22 lelaki dan lapan wanita ditahan kerana disyaki menjadi peserta acara nyalan lilin."

Sempena 50 tahun ISA diperkenalkan, aktivis NGO dan pembangkang berkumpul di pelbagai tempat bagi menyalakan lilin tanda bantahan terhadap akta kontroversiti itu.

Tindakan itu menyebabkan polis menahan 30 orang di Petaling Jaya, empat di Pulau Pinang dan dua di Kelantan atas alasan terlibat dalam perhimpunan tanpa permit.

Dalam satu kenyataan hari ini, Hasmy mengingatkan polis terhadap cadangan yang dibuat hasil daripada pendengaran awam kes perhimpunan di lebuh raya Kesas dan KLCC - atau dikenali sebagai 'Bloody Sunday' (kiri) - sebelum ini.

"Suhakam mencadangkan dalam suatu keadaan apabila polis perlu mengawal atau menyuraikan orang ramai, waktu yang cukup dan cara yang tidak ganas hendaklah digunapakai," katanya sambil mendakwa Suhakam memerhatikan secara langsung demonstrasi di Petaling Jaya pada malam minggu sebelum ini.

NGO: Bongkar muka munafik

Beliau menegaskan sekali lagi bahawa hak orang ramai untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa.

Sementara itu beberapa kumpulan NGO hari ini turut mengecam tindakan polis membuat tangkapan "besar-besaran" dengan mendesak Menteri Dalam Negeri Tan Sri Hishammuddin Hussein meletakkan jawatan.

Tiga badan itu - Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) dan NGO pendidikan Pusat Pembangunan LLG - mendakwa Hishammuddin 'melanggar' janjinya pada Jun lalu bahawa pindaan ISA akan menjamin hak berhimpun.

"Tetetapi kami berpendapat, tangkapan besar-besaran (pada) 1 Ogos telah bercanggah dengan janji kerajaan dalam pemindahan (pindaan) ISA, membongkarkan muka munafik kerajaan yang mengabaikan hak-hak sivil rakyat," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Sementara itu, Pemuda PKR Pulau Pinang pula menyifatkan justifikasi polis bagi menghalang perhimpunan itu dengan mengatakan sebagarai 'haram' merupakan tindakan yang cukup simplistik.
"Pihak polis barangkali buat-buat lupa terhadap pengisytiharan kerajaan negeri Pulau Pinang yang sebelum ini telah menyediakan Speakers Corner khas untuk rakyat menyatakan sebarang ekspresi diri terhadap apa jua isu semasa yang berlaku," kata setiausahanya Syed mikael Rizal Aidid.

"Penganjur juga telah menuruti arahan kerajaan negeri untuk tidak menggunakan sebarang pembesar suara.

"Berdasarkan keadaan ini, pihak polis sewajarnya menghormati perhimpunan dan hak rakyat ini, dan bukannya menimbulkan lagi suasana tegang.  ( Sumber asal )

Bahagikan Sabah, Sarawak jadi 16 negeri

Pemimpin pembangkang Sabah, Jeffrey Gapari Kitingan menggesa kerajaan negeri Sabah dan Sarawak supaya menimbangkan secara serius mewujudkan beberapa negeri baru di kalangan mereka.

Katanya, keluasan kawasan yang besar, kecekapan mentadbir yang lebih baik melalui desentralisasi dan memaksimumkan potensi sebagai alasan untuk berbuat demikian.

Ideanya adalah Sabah dibahagikan kepada lima negeri - Tawau, Sandakan dan Kudat di pantai timur dan utara manakala dua lagi negeri iatu Pantai Barat dan Pedalaman.

Bagi Sarawak pula, menurut Jeffrey, semua sebelas bahagian dijadikan negeri-negeri Sarawak, iaitu Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit, Bintulu, Miri dan Limbang.

"Jumlah 16 negeri dan satu wilayah persekutuan Borneo akan menengelamkan 11 negeri dan dua wilayah persekutuan di Semenanjung Malaysia,” katanya semasa ucaptama tertutupnya yang berjudul 'The Genesis of Malaysia Revisited' dan 'The Way Forward' di Kota Kinabalu, semalam.

Forum itu diadakan sebagai pembuka tirai bagi sambutan rasmi Hari malaysia yang pertama yang dijadualkan pada 16 September ini.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Yayasan Warisan Borneo dengan kerjasama Heritage Common Interest Group Malaysia (CigMA), dan beberapa pertubuhan lain.

[Baca berita penuh]