Polemik negara Islam lawan negara sekular sebetulnya adalah perdebatan klasik yang muncul akibat kedangkalan politik kepartian Malaysia saja - khususnya PAS, DAP dan Umno. Kita sudah lelah dengan kedangkalan sebegini.
Tatkala PAS, menerusi Nik Abdul Aziz Nik Mat mahukan negara Islam, DAP pula, khususnya Karpal Singh inginkan negara Sekular. Mereka bercakaran sepanjang waktu pada sesuatu yang sebenarnya "tidak ada." Hakikatnya, kedua-dua pihak sedang melakukan kesalahan yang memalukan.
Mungkin kata "salah" tampak radikal. Tetapi ternyata dua suara yang berseberangan ini tidaklah mewakili dari hasrat keseluruhan, atau sekurangnya-kurangnya hasrat sebahagian besar warga Malaysia itu sendiri.
Bagaimana untuk kita membuktikannya? Mari kita telusuri persoalan keabsahan hukum politik yang konon jadi wadah kebanggaan politik PAS dan DAP ini.
PAS, mahupun DAP, memang percaya dan sepakat bahawa jalur politik dalam konteks negara moden adalah pilihan mereka. Oleh kerana itu, mereka terlibat dalam sistem politik negara.
Mereka sepakat bahawa pilihan raya adalah bukti kepada "kebenaran" gagasan mereka. Dan, sama ada sebelum mahu pun setelah pilihan raya, suara-suara yang membawa kemenangan politik akan diangkat.
Ada yang kita dengar: "PAS lebih rela ditolak rakyat daripada dimukai tuhan."
Namun, pada hakikatnya, mereka kembali pada rakyat juga.
Gagasan kabur
Maka, PAS menerusi makna politik sebegini pun mengumandangkan suara-suara Islam, yang kadang-kala ditempek dengan idea-idea demokrasi. Lalu, mereka memadankan demokrasi dengan Islam.
Melalui demokrasi, mereka cuba naik. Dan, melalui demokrasi sedia mereka turun. Dan ini satu perkara yang bagus tentang PAS.
Sementara DAP juga begitu. Mereka terus tegas dengan perjuangan sekularisme. Apakah sekular mereka ramah-agama atau antiagama? Itu tak pernah mereka tuntaskan.
Sama seperti PAS, yang tak pernah menuntaskan secara rinci gagasan negara Islamnya. DAP juga begitu, yang kabur gagasan sekularnya. Tetapi, bagi DAP, yang jelas, Malaysia bermula sebagai sebuah negara sekular.
Dan kebetulan hukum sejarah itulah yang ditafsirkan dalam perlembangaan negara, biarpun terdapat jaminan "agama rasmi negara adalah Islam."
Tetapi, dalam tak sedar, dua suara daripada dua parti politik yang berseberangan ini sebenarnya sama saja dalam sebuah kesendengan. Keduanya dangkal dalam mengerti hakikat politik itu sendiri.
Politik, sepertimana yang mereka wadahi, tak bererti melaksanakan suara sepihak. Tak bererti "kebenaran" (dalam takrif mereka) itu terletak pada "kami."
Sebaliknya, politik yang melampaui politik moden seharusnya juga melampaui hagemoni (termasuk hagemoni idealogi) serta meletakkan kembali suara "kita"sebagai sebuah keabsahan. Dan, akhirnya, yang tekal absah adalah "suara rakyat" itu sendiri, suara "kita!
Lalu, pertanyaannya, apakah benar rakyat bahawa Malaysia memang mahu negara Islam? Kedua-duanya, sama ada PAS mahu pun DAP, sampai kini belum membuktikan. PAS hanya bersandar pada demografi, manakala DAP bersandar pada perlembagaan.
Kehendak rakyat
Namun, kedua sandaran itu sudah pun terhakis keabsahannya. Tatkala rakyat berubah, demografi dan perlembagaan juga berubah.
Demografi takkan sama selamanya. Begitu juga perlembagaan, yang boleh diralat sesuai dengan kehendak baru masyarakat sivil. Maka, yang terus absah hanyalah suara rakyat sebagai suara keramat.
Dari perspektif politik moden, slogan "suara rakyat adalah suara keramat" itu ada benarnya, tetapi sering dimanipulasi. Sama seperti politik-agama yang sering memanipulasi agama demi kepentingan politiknya.
Selalunya, nama rakyat seakan berguna saat politikus tersepit atau saat sesebuah parti tersudut. Nama rakyat ibarat mahdisme yang bila diangkat dapat menyelesaikan segalanya. Namun, inilah juga tanda dari kegagalan politik moden.
Kegagalan inilah yang diwarisi dalam citra politik PAS dan DAP. Dua buah parti ini - sebetulnya semua parti di Malaysia - memang gagal untuk memahami jurang antara "kehendak rakyat" dan "pembentukan politik."
Buat parti-parti ini, keputusan pilihan raya adalah saat yang tepat untuk membolot segalanya selama lima tahun. Memang dangkal bila makna masyarakat sivil mula dipinggirkan, atau tidak cuba untuk difahami.
Kita kata dangkal, tatkala menyaksikan bagaimana kemuliaan Dewan Rakyat dipermainkan. Kita harus persoalkan kembali, apakah benar-benar Dewan Rakyat itu mewakili kehendak rakyat?
Apakah benar-benar setiap hukum yang digubal di Dewan Rakyat itu mewakili hasrat rakyat? Apakah benar-benar setiap suara di Dewan Rakyat itu suara rakyat?
PAS-DAP gigih bercakaran
Semuanya, jika disandar pada realiti dewasa ini, jawapanya tidak. Yang berlaku, suara Dewan Rakyat adalah suara elit politik. Atau lebih tepat, suara eksekutif semata-mata. Rakyat tak pernah diundang untuk terlibat merumuskan hukum.
Walhal hukum itulah yang akan dilaksanakan atas mereka. Rakyat hanya merasa terlibat sekali dalam lima tahun, hanya waktu pilihan raya. Hanya itu saja nilai buat rakyat (yang autonomi) yang konon menjadi "suara keramat" tersebut.
Dan, dengan yang "tidak ada" inilah PAS dan DAP meriah bermegah serta gigih bercakaran. Mereka semarak melaungkan kepentingan masing-masing, padahal keduanya tidak pun mengesahkan keabhsahan kepentingan mereka pada rakyat.
Sama seperti Umno, masing-masing PAS dan DAP juga terus merasa selesa dengan kesendengan mereka. Bagaimanapun, memang mengeluh tak memadai. Lalu, bagaimana untuk kita mengatasi kekurangan politik moden ini?
Justeru, kita mesti mulai akur bahawa setiap pandangan kita boleh saja dicampakkan ke ruang awam. Namun kita juga harus sedar bahawa itu tak bererti pandangan tersebut boleh terus dilaksanakan. Kita, biarpun atas nama politik-idealogi, tetap terus memerlukan keabsahan rakyat.
Selain dari keabsahan rakyat, yang lain akan terus saja bergulir. Inilah yang dimaksudkan sebagai "pembentukan politik dan kehendak rakyat."
Maka, tiada lagi kelompok yang terus kemaruk idealogi dan mahu melaksanakan idealogi satu pihak itu pada semua orang, tanpa memikirkan sisi komunikatif yang terdapat dalam masyarakat sivil.
Jadi, tentang gagasan negara Islam, mahu pun negara Sekular, atau apapun pun gagasan yang ingin ditawarkan, itu semestinya kembali pada pemugaran muafakat rakyat.
Berlagak dengan pandangan sepihak
Namun, untuk memugar muafakat ini tak mudah, tak juga murah. Tapi, inilah harga yang mesti dibayar untuk sebuah keabsahan. Muafakat hanya terbina dari proses wacana rakyat yang tak tercemar dengan kepentingan eksklusif. Sebaliknya, suara autonomi dari masharakat warga itu sendiri.
Lantas, mari kita bertanya: Apakah PAS dan DAP sudah memulakan proses ini? Tidak. Sampai kini, mereka asyik terbuai dengan mimpi-mimpi indah mereka.
Mereka akan terus saja bermimpi, dilambung seenaknya, sampai mereka sedar bahawa proses sebenarnya harus bermula dari bawah, dari rakyat, dari pendidikan, bukan dari atas, bukan dari elit, bukan dari jalan-pintas politik.
Maka, bagaimana untuk melakukan ini? Didiklah rakyat dengan gagasan mereka. PAS boleh mendidik rakyat tentang kepentingan hudud dan syariahnya. DAP, boleh mendidik rakyat tentang peri pentingnya negara sekular.
Kemudian, di tingkat masyarakat sivil, mereka akan terus-menerus menilai, dengan berhujah penuh kritis. Dan akhirnya pasti mereka akan dapat merasionalkan serta menerima salah satu, atau sebarang pilihan lain, dari gagasan-gagasan tersebut. Lalu, keabsahan akan peroleh tempatnya.
Tetapi, soalnya sekarang, PAS dan DAP kian berlagak dengan pandangan sepihak, seolah masyarakat warga tak punya nilai. Dan, inilah yang akhirnya yang mendorong krisis menjadi lebih parah. Krisis tak lagi jadi kritik yang kreatif, sebaliknya jadi kutukan yang negatif.
Sudahnya, sebagai jalan pintas, mereka serakusnya cuba merangkul kuasa politik yang diragui keabsahannya, dan terus melaksanakan gagasannya yang tak-absah tersebut. Hasilnya, kemurnian dari masyarakat warga yang jadi tapak pada keabsahan pun tercemar.
Maka, sebagai warga dari tanahair ini- yang kian tak merasa bahagian dari tanah dan air-nya-kita harus siap berkata "tidak" pada bentuk politik dangkal sebegini. Kita sebagai masyarakat warga harus kembali menuntut jaminan untuk membantah.
Harus menagih kembali hak untuk terlibat dalam setiap keputusan politik tanahair, dan tanpa perlu menunggu lima tahun sekalipun. Serta, kita harus dibela untuk memiliki hak-hak ini. Jadi, inilah makna hakiki dari "rakyat yang memerintah dirinya sendiri.
Maknanya, rakyat yang mewacanakan hukum, rakyat yang mengangkat hukum untuk digubal. Dan rakyat juga yang menikmati hukum tersebut.
Lalu, apa tugas Dewan Rakyat? Tugasnya adalah mendengarkan suara "kita", supaya tak berlaku anarkisme pada "kehendak rakyat."
Hanya itu. Dan, bukannya mereka pula bertindak mengabsahkan fasisme pada "pembentukan politik"!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan