Jumaat, 30 Julai 2010

REHDA setuju cadangan mansuh diskaun bumiputera

KUALA LUMPUR 30 Julai - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengenai pemansuhan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di Selangor.

Presidennya, Datuk Michael Yam berkata, jika kerajaan memansuhkan diskaun tersebut, pendapatan kerajaan akan bertambah dengan hasil cukai yang dikenakan terhadap pembelian rumah mewah.

"Cadangan untuk memansuhkan pemberian diskaun kepada bumiputera bukanlah sesuatu yang baru dalam industri hartanah kerana sudah banyak kali REHDA mengemukakan permohonan kepada kerajaan agar memansuhkan pemberian diskaun terutamanya bagi rumah mewah bernilai tinggi.

"Tetapi kerajaan tidak meluluskan permohonan kami dan saya berasa kali ini kerajaan harus mempertimbangkan untuk memansuhkan pemberian diskaun itu kepada bumiputera," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Tony agar kerajaan Selangor memansuhkan dasar pemberian diskaun kepada bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

Tony yang juga Penasihat Ekonomi Setiausaha Agung DAP mendakwa penghapusan pemberian diskaun itu mampu memberi kesan ekonomi lebih baik kepada Selangor dari segi persaingan termasuk meningkatkan keyakinan pelabur terhadap sektor hartanah di negeri itu.

Menurut Yam, pemberian diskaun kepada bumiputera perlu dimansuhkan terutamanya pembelian rumah mewah yang bernilai RM250,000 ke atas.

"Hal ini kerana, kerajaan kehilangan hasil cukai yang banyak apabila pembelian rumah mewah bernilai RM250,000 diberikan diskaun kepada bumiputera.

"Selain itu, ramai bumiputera yang kaya sedang menyalahgunakan pemberian diskaun ini dan perkara ini harus dikaji," tegasnya.

Tambah Michael, industri hartanah akan menjadi lebih meluas dan berkesan jika pemberian diskaun tersebut dimansuhkan oleh kerajaan.

"Lagipun, bukan ramai bumiputera yang memiliki rumah mewah dan hartanah komersial.
"Pemansuhan dasar ini tidak akan menjejaskan industri hartanah malah ia akan berkembang dengan lebih maju lagi," ujarnya.

 ( Berita asal )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan